Sultan Johor pantau prestasi ahli Exco - Utusan Malaysia

Sultan Johor pantau prestasi ahli Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah walaupun barisan kepemimpinan negeri telah bertukar, namun, tugas dan tanggungjawab membangunkan Johor untuk rakyat mesti kekal menjadi agenda utama kerajaan.

Sultan Ibrahim bertitah, sebagai pemerintah dan ketua negeri, baginda juga diberikan hak serta kuasa dalam Perlembagaan negeri untuk melantik Menteri Besar dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih.

“Sebagai orang yang melantik, saya juga bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan orang yang saya lantik itu benar-benar menjalankan tugas dengan baik, jujur dan amanah demi kepentingan kerajaan serta rakyat negeri Johor.

“Jika ada ahli Exco yang gagal menjalankan tugas dengan memuaskan, maka saya akan berbincang dengan Menteri Besar untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menggantikan dengan ahli Exco yang baharu,” titah baginda pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-60 di Dewan Singgahsana, Istana Besar, di sini hari ini.

Teks titah Sultan Ibrahim itu diedar kepada media menerusi pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO).

Sultan Ibrahim bertitah, setiap ahli exco juga mestilah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Menteri Besar dan sentiasa bertindak sehaluan sebagai satu pasukan, bukannya mementingkan diri sendiri atau mengikut parti politik yang diwakili.

“Jangan jadi seperti duri dalam daging,” titah baginda.

Selain itu, titah baginda agar segala projek pembangunan yang dilaksanakan juga mesti dilaksanakan mengikut keperluan rakyat dan negeri dan bukannya di atas desakan atau kepentingan pemimpin politik.

“Sebagai contoh, program ‘Bas Muafakat Johor’ yang menyediakan pengangkutan bas awam secara percuma kepada rakyat adalah program yang amat baik dan mesti diperluaskan, dan tidak perlulah menukar nama program tersebut kepada ‘Bas Harapan Johor’.

“Saya juga menyeru supaya kualiti perkhidmatan awam di negeri ini dipertingkatkan dengan melaksanakan pengurusan yang profesional dan bebas daripada ikatan politik. Saya percaya, sekiranya semua pihak bersikap terbuka dan tidak mempunyai agenda peribadi, pentadbiran negeri akan berjalan dengan lebih sempurna dan kehidupan rakyat akan lebih sejahtera,” titah baginda. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN