KAJANG – Seorang tukang gunting bernafsu binatang yang melakukan penderaan fizikal dan seksual terhadap bayi berusia 11 bulan sehingga maut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian terhadap mangsa.
Hazmi Majid, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan suami kepada pengasuh bayi berkenaan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Hazmi didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas bayi perempuan itu di sebuah rumah di Apartment Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini antara pukul 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, 7 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin.
Mahkamah menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan bayi malang itu, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau mesra dengan panggilan Zara berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan tenat sebaik dirujuk ke Hospital Serdang pada 7 November lalu.
Pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada tisu kemaluan dan dubur mangsa.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul pada bahagian kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.
Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap bayi berkenaan.
Sementara itu, ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek lelaki didapati positif methaphetamine. – K! ONLINE











