BAGI rakyat negara asing yang mahu masuk ke negara ini (untuk melancong atau melabur), mereka perlu ada pasport atau dokumen perjalanan yang sah. Bagi rakyat negara jiran dalam ASEAN (seperti Singapura, Thailand dan Indonesia) itu sahaja syaratnya. Bagi rakyat negara lain seperti China, mereka perlu dapatkan visa untuk memasuki negara ini.
Dalam portal rasmi 1 Klik Kerajaan Malaysia mengenai hal ehwal imigresen, ada dinyatakan bahawa `visa diperlukan bagi semua tujuan kemasukan’ bagi rakyat negara asing, antaranya Bangladesh, India, Pakistan, Sri Lanka, Taiwan, Myanmar, Nepal, Bhutan dan China (lihat senarai penuh di laman web http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/penafian/168-hal-ehwal-imigresen.html)
Disebabkan kecanggihan teknologi masa kini dan atas alasan Malaysia mahu seberapa ramai rakyat negara asing datang melancong ke negara ini, satu sistem dibina oleh kerajaan bagi membolehkan rakyat negara asing memohon visa secara dalam talian (selepas ini dipanggil E-visa). Maklumat terkini mengenainya boleh diakses oleh sesiapa sahaja dalam portal rasmi Jabatan Imigresen iaitu http://www.imi.gov.my/index.php/en/main-services/visa/evisa.html.
Dalam satu laporan yang mengejutkan oleh sebuah akhbar tempatan pada Rabu 14 November 2018 lalu di bawah tajuk Beruk boleh mohon, kemudahan sistem E-visa ini (yang secara rasmi dikenali sebagai Electronic Travel Registration & Information (eNTRI) untuk rakyat China memasuki Malaysia didapati gagal menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang dijanjikan.
Sebaliknya sistem ini hanya ‘sekadar menyalurkan wang secara mudah kepada sebuah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang’.
Mengikut laporan akhbar itu lagi, sistem ini membolehkan syarikat berkenaan ‘membolot semua hasil kutipan’ (bernilai RM100 untuk satu permohonan) tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan. Apa yang amat menyedihkan adalah bahawa urusan permohonan eNTRI secara dalam talian itu khabarnya ‘dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit’. Ciri-ciri keselamatan telah diabaikan apabila individu yang disenarai hitam atau ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.
Semenjak sistem E-visa ini diperkenalkan pada Mac 2016 hingga kini, syarikat berkenaan khabarnya telah mengutip lebih RM198 juta membabitkan kelulusan permohonan kepada lebih dua juta rakyat China. Syarikat berkenaan telah melantik 20 ejen di seluruh China bagi menguruskan sistem permohonan E-visa itu.
Sebagai satu eksperimen untuk memastikan ketirisan dan kelemahan sistem E-visa itu, warga kerja akhbar berkenaan membuat permohonan E-visa ini dengan menyertakan foto seekor beruk, nombor tiket palsu dan alamat sebuah agensi pihak berkuasa di Malaysia. Dengan bantuan ejen pelancongan, satu pasport palsu digunakan. Tidak sampai lima minit selepas fi dibayar, permohonan itu diluluskan. (https://www.hmetro.com.my/utama/2018/11/395078/beruk-boleh-mohon-metrotv).
Ekoran pendedahan akhbar tersebut, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementeriannya akan segera mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menaik taraf sistem imigresen yang ada sekarang sebelum membangunkan satu sistem baharu yang lebih cekap, selamat dan menjimatkan kos.
Muhyiddin menambah, semenjak dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau telah mengarahkan pihak pengurusan KDN mengkaji semula segala perjanjian konsesi dengan semua vendor yang mengendalikan pelbagai sistem imigresen termasuk sistem E-visa ini.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dipetik sebagai berkata: “Tindakan susulan sudah dan akan diambil. Bagaimanapun apa tindakan yang kita ambil setakat ini tidak boleh didedahkan.”
Beliau menjelaskan, PDRM mempunyai beberapa fasa dalam siasatan terutama membabitkan aspek keselamatan negara. Fasa pertama adalah proses mengumpul maklumat dan polis masih berada di fasa berkenaan sebelum mengambil tindakan. “Apabila sudah cukup maklumat nanti, polis akan ke fasa seterusnya iaitu mengambil tindakan,” tambahnya.
Laporan akhbar 14 November lalu ini mengingatkan penulis kepada satu berita pada Julai 2018 lalu di mana KDN menafikan wujud prosedur tapisan keselamatan tambahan bagi pelancong warganegara China ke Malaysia seperti yang dilaporkan oleh satu portal berita tempatan.
KDN menjelaskan bahawa pada masa ini, pelancong yang ingin datang ke negara ini boleh memohon visa melalui dua saluran, iaitu yang pertama permohonan visa secara manual melalui Pusat Sehenti Setempat (OSC) dan kedua permohonan visa secara atas talian. Dalam pada itu, pelancong dari China boleh memohon visa Malaysia melalui pilihan ketiga, iaitu melalui permohonan eNTRI.
Menurut kenyataan KDN, saringan keselamatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen adalah satu standard operating procedure (SOP) sebelum kelulusan visa diberikan dan ini adalah satu mekanisme awal mengesahkan latar belakang pemohon.
Baru-baru ini, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Hishamuddin Hisham berkata, siasatan telah dilakukan oleh badan itu ke atas syarikat konsesi pengendali E-visa itu sejak September lalu dan telah berjaya merampas ‘buku faraid’ yang merekodkan pembayaran amaun tertentu oleh syarikat itu kepada ahli politik dan beberapa individu tertentu yang lain.
Ada pegawai kerajaan yang terpalit dalam salah laku ini mahu menyerahkan kembali wang rasuah yang mereka terima dari syarikat tersebut. Siasatan masih terus dijalankan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009, Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (Amla) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Penulis dimaklumkan bahawa warga kerja Jabatan Imigresen mendesak kerajaan Malaysia menyerahkan balik urusan E-visa ini kepada mereka. Demi keselamatan negara, kerja itu tidak wajar diserahkan kepada swasta. Desakan itu disuarakan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Norhisham Murujan.
Penulis setuju. Ia wajar dilakukan segera sebelum situasi menjadi lebih parah lagi.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.










