KUALA LUMPUR 27 Nov. – Penyerang Harimau Malaya, Shahrel Fikri yang mempunyai pengalaman beraksi semusim di liga utama Thailand akan menggunakan segala pengalaman yang dimiliki apabila berdepan pasukan Gajah Perang dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2018, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Shahrel yang beraksi bersama kelab Nakhon Ratchasima musim ini, mendedahkan pemain yang paling dikenalinya dalam pasukan Thailand adalah rakan sepasukannya di kelab iaitu Chalermpong Kerdkaew.
Chalermpong yang juga kapten Nakhon Ratchasima bakal mengemudi barisan pertahanan Thailand adalah seorang pemain yang bijak dalam membaca perlawanan namun tidak memiliki kepantasan.
“Bagi saya pengalaman bermain dengan pasukan di Thailand memang berbeza sebab permainan mereka cukup pantas dan agresif. Saya harap rakan dapat memberi kerjasama dalam permainan nanti.
“Daripada semua pemain Thailand yang paling saya kenali adalah ketua pasukannya dan juga kapten pasukan saya di kelab. Bagi saya dia pemain cukup baik tapi saya tahu sedikit sebanyak kelemahan dia.
“Mungkin kita dapat manfaat kelemahan dia yang kurang laju apabila berdepan dengan penyerang yang mempunyai kepantasan tapi dia seorang pemain yang cukup bijak dalam membaca permainan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Padang A Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.
Malaysia yang muncul juara buat pertama kali Piala AFF pada 2010 bakal berdepan cabaran sukar di peringkat separuh akhir bagi edisi kali ini apabila perlu berdepan pasukan di ranking ke-121 dunia, Thailand berbanding kedudukan Harimau Malaya di tangga ke-169.
Sementara itu, Shahrel juga mengakui lebih selesa diturunkan sebagai ‘super sub’ kerana ini merupakan penampilan pertamanya di kejohanan Asia Tenggara tersebut.
“Lebih kurang macam itu, tahun ini kali pertama saya main di AFF dan sasaran saya tidak terlalu tinggi cukup dapat menjaringkan satu gol.
“Mungkin kejohanan akan datang saya akan merebut tempat dalam kesebelasan utama,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










