GAZA CITY 13 Nov. – Sekurang-kurangnya enam penduduk Palestin maut dalam serangan udara tentera Israel manakala seorang penduduk Israel terkorban terkena bedilan roket dalam pertempuran terbaharu di Semenanjung Gaza hari ini.
Pertempuran itu tercetus tidak sampai 24 jam selepas tujuh penduduk Palestin maut dalam operasi khas tentera Israel di semenanjung berkenaan.
Serangan terbaharu itu turut memusnahkan bangunan stesen televisyen Hamas, al-Aqsa TV sekali gus menghalang usaha untuk menamatkan pertempuran yang telah berlanjutan sejak beberapa bulan lalu.
Tentera Israel mendakwa stesen itu ‘menyumbang kepada tindakan tentera Hamas’ namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan dipercayai kakitangan stesen itu telah meninggalkan bangunan selepas menerima tembakan amaran.
Menurut tentera Zionis, pihaknya melancarkan serangan terhadap lebih 100 kawasan pejuang Palestin sebagai tindak balas serangan lebih 300 roket dari wilayah yang ditadbir Hamas pada Isnin lalu.
Sistem pertahanan Israel, Iron Dome berjaya menangkis lebih 100 roket dari Gaza namun satu daripadanya mengenai sebuah bas dan bangunan di selatan Israel.
Kumpulan pejuang Palestin di Gaza termasuk pergerakan Hamas mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap bas yang dikatakan membawa tentera Israel.
Jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus tidak dapat memberi maklumat lanjut tentang penumpang bas terbabit.
Pihak perubatan melaporkan sekurang-kurangnya 27 penduduk Israel cedera dalam serangan itu.
Kumpulan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin memaklumkan, dua daripada yang terbunuh adalah anggotanya dan manakala seorang lagi merupakan anggota sayap tentera kumpulan Jihad Islam.
Seorang penduduk awam Palestin yang cedera dalam serangan tentera Zionis disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Gaza hari ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa semua pihak agar bertenang.
Sementara itu seorang penulis, Ali Abunimah berkata, Israel menyasarkan ‘pembunuhan, pengeboman dan keganasan’ terhadap penduduk Gaza.
“Tetapi mereka (Israel) turut mendedahkan penduduk Israel terhadap serangan balas dendam daripada kumpulan pejuang Palestin,” katanya kepada Al-Jazeera.
Pertempuran berkenaan tercetus selepas beribu-ribu penduduk di semenanjung berkenaan melancarkan tunjuk perasaan ekoran kematian tujuh penduduk Palestin termasuk Komander Briged al-Qassam dalam operasi khas tentera Zionis itu. – AFP










