SEREMBAN – Seorang pemandu treler tanpa muatan maut dalam kemalangan membabitkan dua buah treler dan sebuah lori tangki di Kilometer 254.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.46 pagi ini.
Menurut beliau, ketiga-tiga lorong di lokasi kejadian ditutup sementara berikutan kemalangan itu.
“Ketiga-tiga lorong ditutup sepenuhnya. Pihak trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan PLUS telah menyediakan laluan alternatif.
“Laluan alternatif itu untuk pengguna lebuh raya dari arah masuk ke Tol Senawang dan melalui Rembau untuk pemandu yang ingin menuju ke arah selatan. Aliran trafik menuju ke arah utara lancar seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, seorang pemandu treler tanpa muatan maut dalam kejadian tersebut.
Kata beliau, kemalangan itu turut membabitkan sebuah treler membawa kayu dan sebuah lori tangki air.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.46 pagi.
“Seramai 14 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang serta Seremban bersama tiga jentera dikerah memberi bantuan,” katanya. – K! ONLINE











