Semangat, janji Tomok dan Black - Utusan Malaysia

Semangat, janji Tomok dan Black

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPELUANG berkolaborasi pada satu pentas pastinya tidak akan dipersia-sia oleh Tomok dan Black apatah lagi pelawaan datangnya daripada Dewan Filharmonik Petronas (DFP), sebuah pentas berprestij di negara ini.

Ibarat bulan jatuh ke atas riba, mereka bagaimanapun tidak mahu terlalu leka dan ‘angkuh’ dengan peluang yang diberikan.

Sebaliknya mahu menggunakan sebaik-baiknya ruang dengan memberikan persembahan terbaik kepada audiens pada persembahan satu malam – Tomok vs Black – In The Spotlight pada 28 November ini.

Black rasai tekanan

JANJI harus dikotakan dan itu memberi tekanan kepada Black yang mengakui gemuruh dan berdebar untuk merealisasikan persembahannya dengan Tomok yang akan berlangsung Rabu depan.

Malah katanya, dia sering mengadakan pertemuan dengan penyanyi lagu Bekas Kekasih itu bagi membincangkan perjalanan persembahan mereka sejak dipelawa oleh DFP pada Mei lalu.

“Perbezaan idea antara kami memang ada sehinggakan saya berasa sedikit tertekan. Namun kami sentiasa berbincang secara rasional demi mencantikkan persembahan.

“Malah penglibatan seperti pengarah muzik memberi kelegaan kepada kami kerana setiap hal berkaitan susunan muzik, kami akan rujuk kepadanya,” kata Black.

Bakal membawakan 14 buah lagu secara solo pada persembahan tersebut, Black yang baru sahaja melancarkan single Pokpet kini fokus untuk mendapat stamina terbaik.

“Bukan semua orang dapat peluang keemasan seperti ini dan pelawaan DFP ini satu penghargaan buat kami. Ini juga impian saya yang menjadi kenyataan.

“Pun begitu, saya perlu membuat persiapan dengan sebaik-baiknya.  Ini kerana saya difahamkan jika seseorang penyanyi membuat kesilapan, suasana di dalam dewan berprestij seperti DFP ini akan jelas kedengaran oleh penonton.

“Saya ingin janjikan satu persembahan terbaik yang akan diingati penonton untuk 10 tahun akan datang,” katanya yang bersenam di gimnasium dan berjogging lima kilometer setiap hari bagi persiapan menghadapi persembahan tersebut.

Tomok guna peluang sebaik mungkin

Sementara itu, Tomok yang sebelum ini popular dengan kumpulan New Boyz (1999) akan membuai audiens dengan seleksi lagu-lagu yang jarang dinyanyikan ketika bersama-sama kumpulan tersebut.

Perkongsiannya di pentas DFP bakal menyelusuri perjalanannya dalam industri bermula daripada vokalis artis berkumpulan sehinggalah solo seperti hari ini.

“Pada persembahan itu nanti saya dan Black akan menceritakan tentang kisah kami dalam muzik, bagaimana kami bermula sebagai seorang artis termasuk lagu pertama yang kami nyanyikan.

“Bukan semua orang dapat peluang beraksi di pentas berprestij seperti DFP. Jadi kita gunakan peluang dengan sebaik mungkin dan akan jadikannya satu malam yang diingati,” katanya.

Menurut Tomok, persembahannya dengan Black juga bukanlah medan untuk membuktikan vokal siapa paling bagus sebaliknya pada dua jam yang diperuntuk, mereka mahu memberikan paduan suara terbaik untuk khayalak.

“Penonton yang datang sudah tentu mereka yang terdiri daripada peminat saya dan Black. Jadi tiada istilah siapa nak tandingi siapa.

“Untuk hasil dan kualiti yang baik perlu kerja berpasukan dan kami juga sudah bersahabat sejak sedekad lalu. Ini pentas untuk kami berhibur dan menghiburkan peminat,” katanya yang akan turut akan dengan Black menerusi lagu Rempuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN