KUALA LUMPUR 13 Nov. – Securemetric Bhd. mula didagangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan harga pembukaan 45 sen, premium 20 sen melebihi harga terbitannya pada 25 sen sesaham.
Syarikat keselamatan digital itu disenaraikan dengan permodalan pasaran bernilai RM60.9 juta.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Edward Law berkata, harga pembukaan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap syarikat meskipun Dow Jones mengalami kejatuhan besar malam tadi.
“Saya percaya ini adalah keyakinan pasaran terhadap kami.
Mungkin pelabur dan pemegang saham yakin dengan apa yang dilakukan oleh Securemetric, mereka percaya kepada kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas acara penyenaraian itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Securematric, Clifton Heath Ferandez; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Shireen Chia dan Mohamad Rizatuddin Noor Mohamed Ramli serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan syarikat, Kelvin Yong.
Securemetric menawarkan produk dan penyelesaian keselamatan digital merentasi negara-negara Asia Tenggara termasuk di Malaysia, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Singapura.
Law berkata, ketika ini lebih daripada 85 peratus pendapatan syarikat disumbangkan oleh pasaran di luar negara, sementara hanya kurang 15 peratus daripada pasaran tempatan.
“Untuk lima tahun akan datang, kami memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan syarikat dalam lima pasaran sedia ada itu, sebelum berkembang di luar rantau ini.
“Kami juga merancang untuk memperkenalkan penyelesaian keselamatan digital baharu berasaskan cloud sekitar suku pertama tahun depan untuk memenuhi keperluan pasaran,” katanya.
Beliau berkata, syarikat ketika melancarkan prospektus sebelum ini telah menyatakan sasaran untuk meraih RM17 juta daripada inisiatif penyenaraian berkenaan.
“Sebanyak RM5.7 juta akan digunakan untuk membangunkan penyelesaian keselamatan digital baharu, RM5.16 juta bagi modal kerja, manakala RM1.7 juta lagi untuk mengembangkan perniagaan.
“Baki RM4.44 juta akan digunakan untuk pembayaran semula pinjaman dan membiayai perbelanjaan tawaran awam permulaan (IPO),” katanya.










