Sebanyak 735 kilogram daun ketum dari Kedah dirampas di Jeli - Utusan Malaysia

Sebanyak 735 kilogram daun ketum dari Kedah dirampas di Jeli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Polis menahan empat lelaki tempatan bersama 735 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM22,050 dalam dua serbuan berasingan di Batu Melintang, Jeli dekat sini pada kelmarin dan semalam.

Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 8 malam kelmarin, dua lelaki yang berusia 25 dan 27 tahun ditahan ketika menaiki sebuah van jenis Nissan Urvan berhampiran kem tentera.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas van tersebut menjumpai 47 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 235kg daun ketum bernilai RM7,050.

Katanya, kedua- dua suspek yang berasal dari Alor Star dan Kuala Berang, Kedah mengaku bekalan tersebut diperolehi daripada seorang lelaki yang berasal dari Alor Star.

“Suspek pertama yang berusia 25 tahun turut mengaku daun ketum yang dirampas adalah miliknya dan untuk diedar di sekitar daerah ini manakala rakannya hanya menemani untuk menghantar bekalan tersebut.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sehari selepas tangkapan pertama, seorang pemandu lori dan kelindannya yang berusia 40 dan 27 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu 6 di sini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Ford Trader yang dipandu dari arah Gerik ke Jeli telah menjumpai 108 bungkusan plastik hitam daun ketum.

“Kesemua 500kg daun ketum diperolehi daripada seorang lelaki Siam di kawasan Pendang, Kedah dianggarkan bernilai RM15,000 dipercayai untuk diedarkan di sekitar Pasir Mas dan Thailand,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 41 tahun beralamat di Kampung Wakaf Stan di sini dicekup bersama dadah jenis heroin bernilai RM12,000.

Kesemua suspek direman selama seminggu mengikut Seksyen 303(3) Akta Racun 1952 dan kes dadah disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN