GLASGOW 21 Nov. – Jaringan hatrik James Forrest berjaya membantu Scotland bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Israel 3-2 di Hampden Park sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan playoff Kejohanan Eropah (Euro) 2020.
Skuad kendalian Alex McLeish wajib mencatat kemenangan ke atas pasukan pelawat untuk membolehkan mereka mengungguli Kumpulan C 1 Liga Negara-Negara Eropah bagaimanapun berdepan kesukaran selepas Beram Kayal meletakkan Israel di depan seawal minit kesembilan.
Bagaimanapun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila pemain sayap Celtic, Forest meledak dua gol pada babak pertama sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-64.
Pemain tengah Israel, Eran Zahavi cuba mengurangkan defisit gol pada minit ke-75 namun jaringannya tidak berupaya untuk menghalang kemenangan Scotland.
“Kami bermain dengan baik dalam tempoh 30 minit. Kami mengawal permainan dengan baik.
“Saya berbangga dengan persembahan pemain begitu juga ketika kami beraksi di Albania. Semua pemain menunjukkan prestasi cemerlang terutamanya James Forrest. Dia bertindak dengan cemerlang apabila memasuki kawasan kotak penalti lawan,” kata McLeish.
Dalam pada itu, Forrest yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik berkata dia menghadapi hari yang cukup menakjubkan.
“Bangkit daripada ketinggalan selepas 10 minit beraksi menyebabkan kami menunjukkan karakter sebenar. Pujian diberikan kepada rakan sepasukan,” katanya. – AFP










