KAJANG 20 Nov. – Pelbagai cara dilakukan kumpulan penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Impian Ehsan di sini bagi mengeratkan perpaduan sesama penduduk.
Inisiatif terbaharu adalah melalui amalan pertanian, Program Unity Gardening Drum (UGD) iaitu projek penanaman sayur menggunakan tong dram yang merupakan projek perintis di kawasan Balakong.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Impian Ehsan, Mejar (B) Abdul Rahim Mohd Amin berkata, usaha itu bertujuan membudayakan pertanian secara kecil-kecilan sebagai sumber makanan tambahan yang boleh dilakukan tanpa memerlukan ruang yang besar untuk bercucuk tanam.
“UGD adalah kaedah penanaman sayur menggunakan tong berkapasiti 200 liter yang boleh menempatkan 45 hingga 50 poket semaian di sekelilingnya.
“Secara ringkasnya, produktiviti kaedah tanaman ini bergantung kepada saiz permukaan tong,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pertanian Bandar, Anjuran KRT Taman Impian Ehsan di Tabika Perpaduan Impian Ehsan di sini baru-baru ini. Abdul Rahim memberitahu, program itu diadakan buat julung kali melalui kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan KRT Kajang Utama. Jelasnya, selain dapat menghasilkan sumber makanan berkhasiat, kaedah penanaman itu juga dapat memupuk perpaduan seisi keluarga dan antara komuniti di taman perumahan..
“Matlamat utama program pertanian bandar ini ialah membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri hasil tanaman dengan sokongan jabatan dan agensi yang terlibat,” ujarnya. Majlis dirasmikan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Bagi Zon 7, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), R. Thiagarajah dan turut hadir Ketua Unit Pembanguna Komuniti, Bahagian Pembangunan Masyarakat MPKj, Shahrul Nizam Husian. – UTUSAN ONLINE










