LONDON 23 Nov. – Sergio Aguero menyifatkan pembedahan lutut yang dilakukannya sebelum ini membantu meningkatkan semula kecergasannya sekali gus membolehkannya beraksi mengikut strategi Pep Guardiola sepenuhnya.
Aguero yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman bersama City bagaimanapun tidak memiliki hubungan baik bersama Guardiola kerana pengendali itu lebih berminat untuk menggunakan khidmat Gabriel Jesus.
Tetapi penyerang Argentina itu berjaya mendapatkan tempat dalam kesemua 12 aksi liga musim ini dan berjaya meledak lapan gol termasuk jaringan ke-150 dalam semua pertandingan selain berada di landasan terbaik untuk perebutan kasut emas.
“Semuanya berpunca daripada masalah lutut. Saya berdepan kesukaran untuk tempoh panjang selain terpaksa melalui pelbagai rawatan di kelab ini.
“Akhirnya saya memutuskan untuk menjalani pembedahan sebelum Piala Dunia. Sejak itu saya tidak berdepan sebarang masalah, tiada lagi kesakitan dan saya rasa semakin cergas.
“Semuanya berjalan dengan baik dan Pep sangat gembira. Saya cuba lakukan segala yang dikehendakinya untuk membantu pasukan,” katanya.-AGENSI










