LONDON 24 Nov. – Maurizio Sarri tidak mahu Chelsea mendapatkan mana-mana pemain baharu Januari ini kerana dia mahu terus memperbaiki skuad sedia ada.
Chelsea kini berada di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Manchester City selepas 12 perlawanan.
Bagaimanapun, skuad kendalian Sarri masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan berjaya memecahkan rekod tanpa kalah pada awal saingan Liga Perdana Inggeris.
Sarri juga menafikan dakwaan Chelsea mahu mendapatkan khidmat Ousmane Dembele pada jendela perpindahan awal tahun hadapan.
“Tidak untuk masa sekarang. Adalah mustahil untuk kembali cergas menggunakan jendela perpindahan.
“Mungkin awak mampu membeli satu atau dua pemain penting tetapi mungkin satu pemain tidak sesuai untuk pasukan awak. Jadi, bukan mudah. Kita semua perlu bekerja,” katanya.
Sarri masih belum pernah menjulang sebarang trofi utama dalam kariernya sama seperti pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino yang masih belum menjulang sebarang kejuaraan sejak 2014.
“Saya mahu menang sesuatu untuk mengelakkan soalan ini. Setiap sidang akhbar, awak akan tanya soalan sama.
“Jadi saya kena menang sesuatu segera.
“Kadang-kala kita berada di dalam keadaan untuk menang, kadang-kala tidak. Mungkin Pochettino tidak berada pada tahap itu pada waktu ini.
“Dalam Liga Perdana Inggeris, sudah pasti ada satu pasukan yang kuat, mungkin dua. Jadi susah untuk menang jika pasukan awak bukan yang terbaik.
“Kadang-kadang awak susah untuk menang walaupun awak pasukan yang hebat. Jika tidak hebat, keadaan lagi susah. Jelas sekali Pochettino adalah jurulatih yang penting sama ada dengan trofi atau tidak,” katanya. – AGENSI











