SIBU – Sarawak mampu muncul sebagai pengeksport pelbagai produk serta perkhidmatan negara pada masa depan.
Pengarah Wilayah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Sarawak, Leany Mokhtar berkata, keyakinan itu adalah didorong oleh keberanian komuniti perniagaan di negeri tersebut untuk meneroka pasaran perniagaan di luar negara.
Menurutnya, eksport merupakan antara instrumen utama yang menyumbang kepada usaha pengukuhan ekonomi negeri ini.
“Kita cukup komited dalam membantu mencapai kadar pertumbuhan lima peratus ekonomi negeri tahun depan seperti yang disasarkan.
“Program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada komuniti perniagaan tempatan terutamanya pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menerokai pasaran luar negara kelak.
“Saya optimis program sama merupakan
antara platform bagi membantu usahawan tempatan mencari peluang untuk memperkembangkan sayap perniagaan mereka di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini sempena Hari Eksport Sarawak 2018 di Hotel Kingwood, di sini esok.
Leany menambah, antara aktiviti yang dijalankan sepanjang Hari Eksport Sarawak 2018 itu kelak ialah Program Go Export (Go-Ex), e-Trade, Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dan Dana Perkhidmatan Eksport (ESF).
Katanya, antara aktiviti lain ialah mempromosikan kemudahan dan fasiliti disediakan kerajaan melalui Matrade khususnya kepada komuniti perniagaan di Sarawak.
“Ini adalah termasuk peluang pembangunan eksport selain aktiviti promosi dan misi perdagangan Matrade menerusi 46 pejabat di seluruh dunia,” ujarnya.
Hari Eksport Sarawak 2018 itu telah mendapatkan sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan e-Dagang Sarawak (MITEC) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).
Untuk rekod, terdapat lebih 450 syarikat dari Sarawak berdaftar dengan Matrade membabitkan pelbagai sektor seperti automotif, mesin dan peralatan, minyak sawit, bahan binaan, produk makanan dan pertanian, selain pembinaan serta baikpulih kapal. – K! ONLINE










