Sarawak mampu menjadi pengeksport utama negara - Utusan Malaysia

Sarawak mampu menjadi pengeksport utama negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU 20 Nov. – Sarawak mampu menjadi pengeksport utama negara dengan kepelbagaian produk dan perkkhidmatan yang dimiliki di sini hari ini.

Leany Mokhtar
Leany Mokhtar 

Menurut Pengarah Wilayah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Sarawak, Leany Mokhtar, kemampuan tersebut dapat dilihat daripada keberanian komuniti perniagaan di sini menerokai pasaran luar.

Sehubungan itu, katanya, Matrade Sarawak dalam usaha mendokongnya mengambil inisiatif menganjurkan Hari Eksport Sarawak 2018 di Hotel Kingwood, pada Rabu ini.

“Platform ini bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti perniagaan tempatan, khususnya pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terhadap potensi pasaran global yang boleh diterokai.

“Ia juga bagi membantu usahawan tempatan melebarkan skop pemasaran produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat global disamping mempromosikan kemudahan dan fasiliti disediakan kerajaan melalui Matrade,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

Hari Eksport Sarawak 2018 disertai lebih 450 syarikat Sarawak berdaftar dengan Matrade membabitkan pelbagai sektor, termasuk automotif, mesin dan peralatan, minya sawit, bahan binaan, produk makanan dan pertanian, selain pembinaan serta baikpulih kapal.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai insentif telah disediakan pihaknya bagi menggalakkan aktiviti eksport dalam kalangan usahawan tempatan.

“Ini termasuk Program Go Export (Go-Ex), e-Trade, Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dan Dana Perkhidmatan Eksport (ESF) yang perlu dimanfaatkan usahawan kita.

“Selain itu, kita menggalakkan lebih banyak syarikat Sarawak berdaftar dengan Matrade bagi membolehkan mereka memperoleh manfaat dari kemudahan dan insentif disediakan.

“Ini termasuk peluang pembangunan eksport, selain aktiviti promosi dan misi perdagangan yang dianjurkan Matrade melalui rangkaian 46 pejabat perdagangannya di seluruh dunia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Leany memberitahu, pihaknya juga komited untuk terus mempertingkatkan prestasi eksport Sarawak seperti yang disasarkan kepemimpinan negeri ini.

“Kita cukup komited dalam membantu mencapai kadar pertumbuhan lima peratus ekonomi negeri pada tahun hadapan seperti yang disasarkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN