Saman Anthony demi maruah - Utusan Malaysia

Saman Anthony demi maruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, tindakannya menyaman Anthony Loke bertujuan mempertahankan maruah isteri dan anaknya yang dihina dengan kata-kata kesat dalam media sosial akibat fitnah Menteri Pengangkutan itu.

Menurut Vigneswaran yang juga Presiden MIC, dakwaan beliau melanggar peraturan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebenarnya tiada kaitan dengan Anthony sebaliknya melibatkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

SA VIGNESWARAN
SA VIGNESWARAN 

“Isu ini membabitkan MAHB, iaitu syarikat swasta yang disenarai awam, tiada kaitan dengan bidang kuasa Menteri Pengangkutan.

“Malah tindakan beliau mendedahkan video yang turut memaparkan isteri dan anak saya yang tidak bersalah, adalah melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

“Saya akan buat laporan polis mengenai pelanggaran PDPA dan sebagai seorang ayah, saya perlu mengemukakan saman ini bagi melindungi maruah keluarga saya,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Negara di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban dalam satu sidang akhbar mendakwa Vigneswaran pada 14 November lalu telah melanggar peraturan keselamatan di KLIA dengan memakai selipar memasuki bilik kenamaan (VIP) walaupun tidak dibenarkan serta tidak melalui prosedur pemeriksaan badan.

Sementara itu, Anthony berkata, bukan isu selipar yang cuba dibangkitkan dalam sidang akhbar, Sabtu lalu tetapi perbuatan seseorang yang memasuki bilik VIP tanpa kebenaran.

Tegas beliau, tindakan beberapa pemimpin MIC membuat perbandingan isu tersebut dengan Tun Daim Zainuddin yang sering memakai selipar ketika menyambut delegasi antarabangsa menggambarkan tahap kebijaksanaan mereka.

“Padanlah MIC ditolak oleh kebanyakan orang India, isu seperti ini pun mereka gagal untuk memahami dengan jelas,” katanya yang bersedia untuk menerima saman daripada Vigneswaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN