IPOH 29 Nov. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad diminta membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya terdapat gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi undi tidak percaya.
Ahmad Faizal berkata, tiada gunanya Saarani secara berterusan membuat tuduhan tersebut sedangkan dakwaan tersebut tidak berlaku.
“Saya tak faham apa yang Saarani cakap. Jika betul ada tawaran daripada Exco yang berkenaan dalam bentuk rasuah, buatlah laporan. Dia yang cakap, maka dia sepatutnya mengemukakan bukti.
“Beliau sudah buat dakwaan maka dia patut beritahu saya. Kalau ada apa-apa salah laku dilakukan, buatlah laporan polis, SPRM. Kalau dia menutup kesalahan tersebut, itu pun satu kesalahan juga,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Faizal berkata, tiada gerakan untuk menyingkirkan beliau seperti yang didakwa sebaliknya hubungan beliau dengan kesemua Exco baik malah Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung berjalan dengan baik dan beliau sentiasa berhubung dengan kesemua Exco.
Ahmad Faizal juga meminta Saarani supaya fokus kepada sesi penggulungan sidang DUN dan memberi teguran jika terdapat kekurangan dalam Belanjawan 2019 negeri yang dibentangkan semalam.
“Jadilah pembangkang yang baik. Sudah-sudahlah kita berpolitik. Saya rasa dia faham, dia sudah lama dalam kerajaan dahulu. Dulu dia (Saarani) berceramah mahu menjadi menjadi pembangkang yang baik jadi beliau kena buktikan.
“Tak perlulah kata saya hipokrit (kerana menafikan wujud gerakan menjatuhkan Menteri Besar). Kalau tiap-tiap hari buat sidang akhbar cerita ada Exco nak gulingkan Menteri Besar, kita tak akan ke mana,” katanya.
Mengenai tindakan Ketua Sekretariat PH Perak, V. Sivakumar yang membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur semalam, Ahmad Faizal berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.
“Saya percaya apabila ada laporan polis, jika nampak perkara itu perlu disiasat, maka kena siasat dan tindakan seterusnya boleh diambil,” katanya.
Terdahulu, dalam sidang akhbar hari ini, Saarani mendakwa Exco yang berkenaan masih meneruskan usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar menerusi undi tidak percaya walaupun perkara itu sudah didedahkan. – UTUSAN ONLINE










