KUALA LUMPUR 29 Nov. – Jabatan Peguam Negara akan terus bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas semua yang terlibat dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tanpa sebarang pengecualian.
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya juga akan mengambil maklum keperluan untuk menyegerakan tindakan dalam menangani situasi yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan keamanan.
“Insiden keganasan yang berlaku adalah sesuatu yang serius dan telah mencetuskan kebimbangan ramai terutamanya serangan kejam ke atas seorang anggota bomba ketika melaksanakan tugasnya.
“Memandangkan keseriusan dan sensitiviti berhubung perkara ini, saya telah mengarahkan supaya fail berkaitan dikendalikan di peringkat ibu pejabat di bawah Ketua Bahagian Pendakwaan, yang akan memaklumkan kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










