VALENCIA – Pelumba legenda Itali, Valentino Rossi mungkin tidak boleh terlalu berharap untuk menguasai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2019 susulan jentera enjin spesifikasi ketiga Yamaha yang diuji di Litar Ricardo Tormo semalam tiada perbezaan ketara berbanding spesifikasi kedua.
Terdahulu, Rossi dan rakan sepasukan, Maverick Vinales masing-masing mengakui berpuas hati dengan jentera 2019, namun Rossi berpendapat sesuatu masih boleh ditingkatkan bagi mendapatkan kelajuan maksimum.
Bagaimanapun, usaha pelumba berusia 39 tahun tersebut masih menemui jalan buntu apabila menghabiskan ujian pramusim di kedudukan kesembilan iaitu 0.614 saat di belakang rakan sepasukannya itu.
“Sebenarnya, terdapat peningkatan pada jentera hari ini (semalam) berbanding semalam (kelmarin). Bagaimanapun, pesaing-pesaing kami juga menunjukkan peningkatan ketara. Justeru, saya berpendapat kelajuan jentera ini masih belum mencukupi.
“Biarpun tayar baharu membuatkan kami mampu memecut lebih laju, namun kami mula berdepan masalah dan perlumbaan menjadi tidak memberangsangkan selepas beberapa pusingan.
“Isu sebenar adalah pada spesifikasi enjin kedua. Kami mencubanya berkali-kali, namun tidak banyak perbezaan. Kami akan teruskan usaha ini pada sesi ujian di Jerez, Sepanyol nanti.
“Kami akan cuba memahami sebelum memutuskan spesifikasi enjin yang terbaik untuk diusulkan kepada Yamaha. Jadi, sesi pramusim di Jerez sangat penting kerana perlumbaan di litar tersebut Mei lalu tidak begitu memberangsangkan,” kata Rossi. – Agensi










