RM417.3j ekuiti dijual - Utusan Malaysia

RM417.3j ekuiti dijual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Pelabur antarabangsa men­jual RM417.3 juta ekuiti tempatan di Bursa Malaysia minggu lepas, lebih dua kali ganda daripada jumlah yang dikeluarkan pada minggu sebelumnya.

Menurut MIDF Research, tiga hari pertama dalam minggu itu menyaksikan jumlah aliran keluar oleh pelabur asing meningkat secara beransur-ansur.

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah yang dijual pada Isnin ialah RM49.5 juta yang disifatkan sebagai sederhana.

“Bagaimanapun, paras jualan asing meningkat kepada RM177.8 ju­ta pada Selasa, mengheret indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada penutupan terendah dalam sembilan hari dagangan pada 1,687.57 mata.

“Sentimen pelabur pada hari itu terjejas oleh kelemahan harga minyak mentah Brent yang mengalami kejatuhan enam hari berturut-turut.

“Ini ditambah dengan kemerosotan saham teknologi di Wall Street apabila satu daripada pembekal Apple, Lumentum Holdings Inc. menerbitkan amaran keuntungan yang mencetuskan kejatuhan lima peratus harga saham Apple,” kata MIDF Research dalam nota aliran mingguan di sini hari ini.

Jualan asing pada Rabu adalah RM200.4 juta, bertembung dengan kejatuhan 0.1 peratus nilai ringgit pada RM4.1958 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), satu tahap yang tidak dilihat dalam tempoh setahun.

“Sementara itu, bursa tempatan meningkat 0.1 peratus untuk ditutup pada 1,688.41 mata pada hari yang sama.

“Penjualan besar-besaran pada Rabu itu adalah selari dengan rakan serantau yang lain seperti Taiwan dan Thailand,” jelas firma tersebut.

Bagaimanapun, penjualan asing kemudiannya menyusut kepada hanya RM30.3 juta pada Khamis ketika kebimbangan geseran perdagangan makin berkurangan selepas China memberi tindak balas terhadap permintaan AS mengenai pembaharuan perdagangan.

“Jualan asing berturut-turut selama lima hari itu berakhir pada Jumaat apabila pelabur antarabangsa membeli RM40.6 juta ekuiti tempatan didorong oleh keyakinan terhadap per­kembangan perdagangan itu yang mengatasi berita peletakan jawatan Setiausaha Brexit, Dominic Raab,” jelasnya.

MIDF Research berkata, pada November pula, setakat ini menyaksikan aliran keluar asing bernilai RM421.8 juta.

“Sementara itu, pelabur antarabangsa telah melupuskan RM10.37 bilion ekuiti tempatan untuk tahun ini sahaja, namun Malaysia masih mencatatkan ali­ran keluar kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang kami pantau,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN