Resepi air tangan 
Tengku Puan Pahang - Utusan Malaysia

Resepi air tangan 
Tengku Puan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE Diamond Ballroom Mandarin Oriental Hotel Kuala Lumpur pada petang 5 Ogos lalu gamat dengan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi yang didedikasikan buat Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Serentak dengan itu, seramai 15 kanak-kanak dari Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) milik baginda naik di atas peterana untuk mengucapkan hari lahir. Kala itu jelas terpapar naluri keibuan dan riak bahagia di wajah baginda apabila saat seorang demi seorang daripada anak-anak tersebut memeluk serta mencium sambil mengucapkan, “Happy Birthday, Nenda” buat baginda.

Sesungguhnya kehadiran dan kelahiran anak-anak TAFF ini memberi makna yang cukup besar buat Permaisuri Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ini. Baginda sanggup melakukan pelbagai kerja amal dan kebajikan menggunakan segala kudrat dan kepakaran yang ada padanya untuk membantu merealisasikan hasrat pasangan yang sukar mendapat cahaya mata bergelar ibu bapa menerusi bantuan TAFF.

Pernah diuji dengan kesukaran untuk memperoleh zuriat yang membuatkan baginda menjalani terapi persenyawaan tabung uji (IVF) sebanyak 16 kali sepanjang tempoh melebihi 10 tahun, baginda sememangnya cukup memahami naluri keibuan seorang wanita yang mendambakan kehadiran cahaya mata sendiri.

Atas dasar itu, baginda dengan penuh keikhlasan telah mencemar duli menjelajah seluruh pelosok negeri Pahang untuk menghasilkan dua buku resipi eksklusif, Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang dalam usaha untuk mengutip dana buat yayasan tersebut.

Ikuti pengalaman Tengku Puan sepanjang siri jelajah baginda untuk mendapatkan resipi-resipi istimewa tersebut dalam majalah WANITA edisi November 2018 yang mengabadikan wajah baginda sebagai penghias kulit. Juga tentang kepakaran baginda dalam dunia masakan, keluarga dan TAFF.

“Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang merupakan buku terbaharu saya selepas Air Tangan Tengku Puan Pahang yang diterbitkan pada tahun 2005. Kedua-dua buku eksklusif ini memuatkan lebih daripada 300 resipi yang diterbitkan dalam bentuk dwibahasa dan dijual pada harga RM380 setiap satu.

“Usaha untuk menghasilkan buku resipi kedua ini bermula sejak tahun 2007 lagi tapi saya tidak melakukannya secara bersungguh-sungguh. Hanya tiga tahun lalu, barulah saya memberikan sepenuh perhatian kepada proses penghasilan buku resipi ini.

“Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pengalaman menarik telah saya lalui semasa menjelajah ke seluruh pelosok negeri Pahang yang merangkumi daerah Raub, Temerloh, Jerantut, Bera, Rompin, Kuala Lipis, Cameron Highlands, Bentong, Pekan, Kuantan dan Maran. Saya mengambil masa selama sembilan bulan menjelajah semua daerah tersebut bagi mendapatkan resipi tradisional terbaik untuk dikongsi bersama masyarakat.

“Saya mahu memartabatkan keunikan dan kepelbagaian hidangan gastronomi tempatan negeri Pahang dalam kalangan masyarakat kita. Saya ingin berkongsi keenakan resipi istimewa yang sukar ditemui dan semakin pupus ditelan zaman ini dengan seluruh masyarakat Malaysia.

Justeru, hampir kesemua resipi tradisional yang diperoleh, direkod dan dipulihara mengikut cara penyediaan tradisinya memandangkan ada di antara resipi ini sudah berdekad lama usianya.

“Istimewanya buku ini turut memuatkan resipi asli wanita perkampungan Orang Asli yang jarang dinikmati. Saya sendiri meredah hutan belantara, berjumpa, menyukat bahan dan memasak di depan mereka menggunakan ramuan asli tanpa penggunaan bahan import yang sinonim dalam pembuatan kuih-muih hari ini untuk menghasilkan pelbagai resipi yang jarang disediakan seperti tahi murai, anak lebah, cucur betawi dan kuih peria yang acuannya menggunakan mayang pinang.

“Pelbagai cabaran terpaksa kami tempuhi untuk mendapatkan hasil yang terbaik terutama dalam mendapatkan resipi manisan memandangkan kerja memasaknya lebih renyah. Kami terpaksa memasaknya berulang kali sehingga berpuas hati dengan hasilnya. Walaupun mengambil masa yang lama untuk disiapkan, saya sangat berpuas hati dengan pemilihan resipi yang terkandung dalam kedua-dua buku ini adalah pilihan sendiri. Setiap manisan dan masakan tradisional ini, saya masak dan rasa satu per satu.

“Mendapatkan sukatan yang tepat bagi setiap resipi juga satu cabaran. Biasalah masakan Melayu selalunya main campak-campak sahaja. Tapi disebabkan tujuannya adalah untuk menghasilkan buku resipi, segalanya perlu disukat dan direkodkan dengan tepat. Untuk itu, saya perlu membawa peralatan menyukat sendiri dan memadankan sukatan ‘agak-agak’ dengan cawan penyukat yang dibawa ke mana sahaja bagi memastikan resipi yang dipelajari, menjadi dan kekal asli.

“Kedua-dua buku ini diterbitkan sebanyak 20,000 naskhah (10,000 naskhah bagi satu buku).

Semua wang yang diperoleh hasil jualan kedua-dua buku ini akan disalurkan kepada TAFF kerana penghasilannya memang bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu pasangan yang mengalami kesukaran untuk memperoleh cahaya mata di TAFF. Saya sedikit pun tidak akan mengambil keuntungan di atas jualan buku-buku ini.

“Jika kesemua buku ini terjual, kami akan memperoleh dana berjumlah RM7 juta. Dengan wang tersebut, kami boleh menghantar 250 pasangan untuk menjalani rawatan IVF memandangkan kos setiap rawatan IVF adalah di antara RM20,000 hingga RM30,000. Kos yang mahal tidak memberi jaminan kehamilan hingga ramai di antara mereka mengambil keputusan untuk tidak menjalani rawatan dan berserah kepada nasib semata-mata.

“Menyedari ketidakmampuan itulah saya dengan ikhlas hati bersedia untuk membantu meringankan beban mereka dengan menaja kos rawatan tersebut kerana saya percaya masalah ketidaksuburan boleh diatasi dengan rawatan. Jadi, saya gunakan kelebihan yang Tuhan kurniakan kepada saya untuk menghasilkan buku resipi eksklusif ini bagi mengumpul dana dan seterusnya membantu pasangan memerlukan.

“Justeru, saya sangat berharap agar usaha saya ini mendapat sokongan daripada masyarakat dan sama-sama menghulurkan bantuan dengan membeli buku-buku resipi ini,” cerita baginda sambil menyatakan buku-buku resipi tersebut tidak dijual di kedai buku dan hanya boleh diperoleh secara atas talian di laman sesawang https://cheminah.sayang.com.

MEMASAK SEJAK KECIL

Mewarisi bakat memasak daripada bonda baginda, Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah, Tengku Puan mengakui genetik bonda yang mengalir dalam dirinya membuatkan baginda minat dan mahir memasak walaupun tidak dibesarkan oleh bonda kesayangannya itu.

“Saya mula ke dapur sejak berusia enam tahun lagi. Hubungan yang agak rapat dengan pengasuh diraja, Mak Namah membuatkan saya selalu menghabiskan masa bersamanya di dapur. Di situlah bermulanya kelas memasak saya. Namun, pada ketika itu saya tidak dibenarkan memasak kerana bimbang akan berparut dan hanya dibenarkan membantu memetik tauge, membuang kulit udang, mengupas bawang dan kentang.

“Kesempatan yang ada saya gunakan untuk melihat cara mereka memasak sambil menulis nota tentang resipi dan petua memasak yang mereka ceritakan kepada saya. Apabila sudah besar sedikit, barulah saya dibenarkan untuk memasak.

“Saya memasak ayam belanda panggang untuk hidangan keluarga pada usia 12 tahun. Ketika berusia 13 tahun pula saya ditugaskan oleh bonda, Sultanah Zanariah, untuk memasak kek buah istimewa diraja Johor dan biskut raya. Saya juga telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan majlis barbeku istana untuk hidangan 500 orang semasa berusia 16 tahun. Semua itu saya lakukan dengan rasa gembira tanpa sedikit pun berasa terbeban.

“Keinginan Almarhum Ayahanda yang mahu saya mahir serba-serbi dan sempurna sebagai wanita membuatkan baginda menghantar saya ke Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim untuk belajar memasak dengan guru-guru kelas masakan semasa menunggu keputusan peperiksaan tingkatan lima diumumkan.

“Masih saya ingat diri diketawakan kerana tidak tahu menggunakan batu giling. Bawang yang sepatutnya saya giling, melantun ke sana sini. Mereka kata, “Tengok tu, anak raja tak boleh menggiling.” Mendengarkan itu, saya meminta tukang masak istana untuk mengajar saya menggunakan batu giling dan keesokannya saya buktikan pada mereka yang telah mentertawakan saya bahawa puteri raja juga boleh menggiling.

“Almarhum Ayahanda sememangnya pendorong utama untuk saya terus memasak. Pesan baginda yang mahu saya memastikan makanan di istana sedap dan tidak sekadar cantik selain memberi makanan secukupnya buat pekerja istana, saya ingat dan amalkan sampai sekarang.

“Malah buku resipi ini juga merupakan kenangan kasih terhadap Almarhum Ayahanda. Apatah lagi, kos penerbitan dan perbelanjaan buku ini adalah hasil daripada wang pusaka yang diberikan oleh baginda. Semoga segala pahala yang diperoleh turut mengalir kepada Almarhum Paduka Ayahanda saya,” ujar baginda yang turut memiliki kepakaran menjahit cross-stitch, needle point, embroidery dan crochet.

BERTUAH

Bertemu jodoh dengan Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tengku Puan menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana dikurniakan suami yang penyayang dan bertanggungjawab.

“Saya memang tidak sangka akan bertemu jodoh dengan Pemangku Raja. Walaupun baginda adalah pilihan nenda saya, Almarhum Sultan Ismail dan saya adalah pilihan bonda baginda, Almarhumah Tengku Ampuan Afzan tapi sebenarnya saya jatuh cinta dengan baginda masa saya tengok gambar baginda pada kad hari raya yang dihantar oleh ayahanda Tuanku Sultan Pahang kepada ayahanda saya ketika saya berusia 12 tahun.

“Saya bersyukur kerana bertemu jodoh dengan baginda. Sepanjang 32 tahun usia perkahwinan kami, baginda tidak pernah meninggikan suara apatah lagi mengasari saya.

“Baginda seorang lelaki yang berhati murni, suami yang baik serta ayahanda yang disayangi anak-anak. Baginda sentiasa ada di sisi saya untuk memberikan sokongan dan kekuatan kepada saya agar menghadapi segala dugaan dengan penuh kesabaran. Baginda juga mengajar saya tentang harapan, semangat dan kekuatan untuk mendepani cabaran hidup.

“Malah penubuhan TAFF juga mendapat restu daripada baginda meskipun pada awalnya baginda pernah bertanyakan soalan tidakkah saya berasa malu untuk mendedahkan masalah kesuburan yang dialami kepada masyarakat. Alhamdulillah, setelah saya jelaskan kepada baginda bahawa saya ingin membantu wanita lain dan memberi perangsang kepada mereka dalam mengharungi dugaan tersebut kerana hanya wanita yang pernah mengalaminya sahaja yang tahu perasaan itu, baginda merestui keputusan saya untuk menubuhkan TAFF,” kata baginda.

IKON DIRAJA

Keperibadian mulia dan keluhuran pekerti yang dimiliki oleh Tengku Puan sememangnya menjadi sanjungan rakyat jelata. Malah sumbangan dan amal kebajikan yang dilakukan membuatkan baginda selayaknya digelar Ikon Diraja. Namun permaisuri jelita ini dengan rendah hati memberitahu bahawa segala yang dilakukannya ikhlas dari hati tanpa mengharapkan sebarang gelaran.

“Tidak pernah terfikir di fikiran saya untuk menjadi Ikon Diraja. Apa yang saya lakukan, semuanya datang dari hati yang ikhlas kerana saya sangat memahami situasi dan naluri seorang wanita yang begitu mendambakan zuriat sebagai pelengkap kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

“Jujurnya, saya sendiri pernah menangis apabila diduga dengan kesukaran untuk memperoleh zuriat. Apa lagi ada, suara-suara sumbang yang berkata negatif tentang diri saya kerana kesukaran tersebut namun saya redha dengan takdir dan ketentuan Tuhan. Itu ujian Allah buat saya.

“ Justeru, apa sahaja yang saya usahakan dari dulu hingga sekarang hanyalah sebahagian daripada sumbangan saya kepada masyarakat agar hidup mereka lebih sempurna dengan kehadiran cahaya mata yang diimpikan,” ujar baginda yang ditemui semasa majlis bersama media mengenai buku resipi eksklusif yang dihasilkan oleh baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×