BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja berusia 16 tahun antara lima lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang diberkas polis dalam serbuan di sebuah pondok dalam kebun getah di Kampung Bukit Teh, Machang Bubok di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam serbuan 5.15 petang itu, kelima-lima suspek yang berusia 16 hingga 55 tahun terbabit didapati sedang leka menghisap dan membungkus semula dadah untuk dijual kepada penagih di kawasan sekitar.
“Mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis namun kami berjaya menahan kesemua mereka. Dalam serbuan itu polis merampas 23 peket kecil serta 17 keratan straw mengandungi dadah jenis heroin dan 13 peket kecil metamfetamina dengan nilai keseluruhan dianggar lebih RM5,000,” katanya di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata kesemua suspek yang tidak bekerja dan positif dadah itu mempunyai keseluruhan 26 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Mereka kini direman tujuh hari dan kes disiasat menurut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
Dalam satu lagi kes, beliau berkata polis menahan remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki cuba melakukan jenayah samun dan curi di sebuah stesen minyak di Jalan Baru Perai di sini awal hari ini.
“Remaja yang sudah tidak bersekolah itu ditahan pada 3 pagi oleh anggota polis yang sedang menjalankan ronda cegah jenayah di kawasan berkenaan dan pemeriksaan polis menemui sebilah pisau sabit di dalam beg dibawanya,” katanya.
Katanya remaja yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun dan curi terutamanya di kawasan stesen minyak. – Bernama










