KUALA LUMPUR 22 Nov. – Bersempena perlawanan penting Malaysia menentang Myanmar Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak Asia (AFF) di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, Rapid KL akan melanjutkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling ke Stesen Bukit Jalil sehingga 1 pagi.
Rapid KL dalam kenyataannya berkata, bagi mengelak masalah kesesakan dan kekurangan tempat parkir, penyokong pasukan Harimau Malaysia digalakkan menggunakan perkhidmatan tren Rapid KL.
“Perkhidmatan tren tersebut meliputi perkhidmatan LRT Laluan Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang.
“Lanjutan perkhidmatan ini dibuat atas permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam kepada peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, stesen-stesen lain ditutup seperti biasa, tetapi penumpang boleh keluar daripada stesen-stesen berkenaan atau bertukar laluan di stesen-stesen integrasi sama ada di Stesen Maluri atau Stesen Plaza Rakyat untuk menggunakan perkhidmatan MRT atau Stesen Masjid Jamek untuk ke Laluan Kelana Jaya.
“Para penumpang juga boleh bertukar ke laluan Kelana Jaya atau MRT di stesen integrasi Pasar Seni,” katanya. -UTUSAN ONLINE










