KUALA LUMPUR 22 Nov. – Masjid memainkan peranan penting sebagai pusat pembangunan masyarakat sejak daripada awal perkembangan Islam.
Di negara ini, tumpuan masyarakat di sekitar rumah ibadat itu turut menjana pembangunan ekonomi umat Islam melalui aktiviti perniagaan.
Di masjid yang mempunyai ramai jemaah, ruang khas dan unit-unit kedai disediakan yang secara tidak langsung turut menyumbang pendapatan kepada masjid berkenaan.
Tidak lekang daripada penganjuran pelbagai program keagamaan dan menjadi tumpuan ribuan jemaah pada hari Jumaat, masjid mempunyai potensi ekonomi yang tersendiri.
Tinjauan Utusan Malaysia di Masjid Al-Najihin di Bandar Sri Permaisuri dan Masjid Saidina Othman Ibn Affan di Bandar Tun Razak di sini mendapati kawasan itu menjadi ‘lubuk rezeki’ bagi golongan peniaga.
Bahkan ada dalam kalangan mereka mampu meraih pendapatan sehingga RM500 dalam tempoh empat jam antara sebelum dan selepas solat Jumaat.
Jenis perniagaan pula tidak lagi tertumpu pada barangan sembahyang seperti suatu ketika dahulu. Lebih menarik, tarikan aktiviti jualan di masjid kini turut menarik minat golongan bukan jemaah.
Seorang peniaga, Yan Nor Azman Bidin, 42, berkata, dia menjalankan perniagaan kambing golek bakar pada setiap hari Jumaat kerana sambutan yang tinggi daripada pelanggan.
“Saya mula berniaga di sini sejak sebulan lalu dan alhamdulillah pendapatan agak baik untuk menampung jualan hari-hari biasa melalui tempahan majlis perkahwinan, kenduri dan majlis korporat,’’ katanya ketika ditemui di Masjid Saidina Othaman, Bandar Tun Razak di sini.










