KUALA LUMPUR 19 Nov. – Purata umur pesakit jantung koronari di Malaysia iaitu 59 tahun adalah jauh lebih muda berbanding negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurutnya, lingkungan umur itu adalah lima hingga enam tahun lebih muda berbanding pesakit di negara maju dan serangan jantung koronari merupakan jenis penyakit jantung yang paling kerap dihidapi masyarakat Malaysia.
“Oleh itu, langkah pencegahan dari segi perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat adalah penting,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 2018 di sini hari ini.
Beliau menjelaskan faktor risiko serangan jantung sebahagian besarnya berkait rapat dengan gaya hidup seseorang individu dan penyakit tidak berjangkit (NCD) misalnya kencing manis (diabetes), darah tinggi (hipertensi), tahap kolesterol tinggi (hiperkolesterolaemia), berat badan berlebihan (obesiti) dan merokok.
Wan Azizah berkata, apa yang merisaukan adalah peratusan statistik bagi NCD seumpama itu menunjukkan peningkatan dan mengumpamakan situasi itu sebagai ‘bom jangka’ yang boleh meledak bila-bila masa.
“Hasilnya ramai yang menghidap penyakit jantung dan pelbagai komplikasi dalam bentuk penyakit kronik yang lain akibat penyakit NCD,” katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa mesyuarat Jawatankuasa Kabinet bagi Persekitaran Hidup Sihat (JKPHS) yang dipengerusikannya pada 1 November lalu menjadi platform membincang dan mengenal pasti tindakan susulan bagi menangani NCD dengan 15 inisiatif utama dipersetujui bagi pelaksanaan berperingkat.
Antara dasar utama yang diuar-uarkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 lalu ialah pengenalan cukai eksais bagi minuman bergula mulai 1 April 2019 dan peluasan kawasan larangan merokok melibatkan semua restoran atau kedai makanan mulai 1 Januari 2019.










