KOTA BHARU 20 Nov. – Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMa) melalui inisiatif Dana Kemanusiaan PAPISma (Dakap) menyeru orang ramai menyumbang kepada Projek Baby Box dan Food Basket 3.0 untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Pengerusi Dakap, Dr. Tuan Salwani Tuan Ismail berkata, menerusi projek itu, ibu-ibu hamil yang miskin akan menerima kotak berisi pakaian dan kelengkapan bayi manakala kanak-kanak miskin yang kurang zat makanan pula diberikan kotak berisi makanan berkhasiat.
Beliau berkata, inisiatif itu telah dimulakan pada tahun 2015 dan pihaknya kini sedang mengumpulkan dana untuk membantu sekurang-kurangnya 250 penerima di lima buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor.
“Kita rancang untuk serahkan sumbangan ini pada bulan Disember ini dan pada masa sekarang sedang berusaha mendapatkan bantuan firma-firma bank.
“Semasa projek rintis pada tahun 2015, kita telah berjaya menyampaikan set kelengkapan bayi dan pek makanan kepada 38 orang ibu miskin dan 21 kanak-kanak di beberapa buah klinik kesihatan di negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dr. Salwani yang merupakan pensyarah di Jabatan Patologi Kimia Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengumpulakan sekurang-kurangnya RM25,000 untuk tujuan ini.
Pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03018010157785 dan maklumat lanjut boleh hubungi talian 0136647129. UTUSAN ONLINE










