LONDON 24 Nov. – Seorang pramugara warga Malaysia dikenakan hukuman penjara 12 bulan kerana cuba menyeludup wang tunai berjumlah 150,000 pound (RM807,300) dari Britain ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
Agensi Jenayah Kebangsaan Britain (NCA) melaporkan, Muhamad Aziz, 37, dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah dalam perbicaraan di Mahkamah Isleworth Crown, kelmarin.
Laporan itu menyebut Muhamad ditahan anggota keselamatan di Terminal 4, Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow sebelum menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.
Selepas ditahan, anggota keselamatan menemukan sejumlah 100,000 pound (RM538,200) wang tunai di dalam beg pakaiannya dan 50,000 pound (RM269,100) lagi dalam beg jinjit ketika melalui mesin pengimbas.
Dalam laporan itu juga, Muhammad mendakwa dia membawa wang tersebut dari luar negara ke United Kingdom dan ingin membelanjakan wang tersebut untuk membeli beg dan jam tangan di Harrods.
Bagaimanapun, Muhammad mendakwa tidak dapat berbelanja kerana ‘terlalu penat’.
Lelaki yang berasal dari Selangor itu juga enggan menjelaskan mengenai dua resit dari Primark yang dikeluarkan tarikh sama ketika ditahan pada hari tersebut.
“Muhamad telah berkhidmat sebagai pramugara selama 15 tahun dan seharusnya lebih memahami peraturan dan undang-undang membawa wang masuk dan keluar dari negara ini,” jelas Pengurus Operasi NCA, Ian Truby. – AGENSI











