GENK, Belgium 21 Nov. – Pemain gantian, Matteo Politano yang dimasukkan pada penghujung permainan muncul wira Itali apabila meledak gol tunggal perlawanan menewaskan Amerika Syarikat (AS) 1-0 dalam aksi persahabatan di sini, semalam.
Skuad kendalian Roberto Mancini hampir menamatkan perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan selepas mereka tersingkir daripada Liga Negara-Negara Eropah apabila seri 0-0 menentang Portugal di Milan pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun Politano yang dimasukkan ketika permainan berbaki tiga minit meledak gol kemenangan pada minit ke-94, biarpun mendominasi permainan namun Itali gagal menterjemahkan setiap peluang kepada gol.
“Kami ada banyak peluang tetapi apa yang penting adalah persembahan pemain.
“Ini merupakan kali pertama kami beraksi bersama jadi kami tidak fikir mampu mengekalkan corak permainan seperti yang ditunjukkan pada babak pertama selama 90 minit. Kami kelihatan tertekan kerana kami terdesak untuk mencari gol.
“Saya akan berasa kecewa sekiranya perlawanan ini berkesudahan 0-0 terutamanya pemain dan penyokong yang hadir ke perlawanan ini,” kata Mancini.
Bekas jurulatih Manchester City itu mahu menguji pemain baharu memandangkan Itali dalam persiapan menghadapi kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2020 selepas mereka gagal melepasi pusingan akhir Piala Dunia di Rusia pada Jun lalu. – AFP











