JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok kontraban (seludup) melibatkan rampasan bernilai RM1.4 juta dalam satu serbuan di sebuah kawasan perumahan di Indahpura, dekat Kulai, pagi semalam.
Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainal Abidin Kasim dalam serbuan pukul 8 pagi itu, pihak polis telah menyerbu sebuah rumah di daerah berkenaan dan mendapati dua lelaki sedang memunggah sejumlah kotak yang dipercayai mengandungi rokok kontraban ke dalam dua buah kereta.
Beliau berkata, pasukan polis marin (PPM) telah menjalankan intipan selama empat hari serta menunggu selama empat jam sebelum melakukan serbuan di rumah teres dua tingkat itu.
“Seorang daripada lelaki berkenaan turut mempunyai wang bernilai RM18,465 bersama dengannya ketika ditahan,” katanya kepada pemberita di Markas Polis Marin Wilayah Selatan, di sini hari ini.
Turut dirampas sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dan Perodua Alza.
Antara rokok-rokok yang dirampas ialah rokok keretek dan beberapa jenis rokok lain yang dipercayai diseludup dari Indonesia. – Bernama










