KUALA LUMPUR 22 Nov. – Polis menerima lebih 150 laporan berkaitan cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan pihaknya akan memanggil mereka yang terlibat untuk dirakamkan percakapan.
Menurutnya, pihaknya juga belum menerima permohonan permit daripada pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan membantah ICERD yang dijangka diadakan pada 8 Disember ini,
“Kami akan mengendalikan perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Awam dan Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.
“Malaysia sebagai negara demokrasi memberi kebebasan untuk sesiapa sahaja untuk bergerak dan bersuara tetapi setiap perbuatan tersebut haruslah tertakluk kepada undang-undang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam majlis serah terima tugas serta pemakaian pangkat pegawai kanan dan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini.
Sementara itu Noor Rashid memberitahu, pihaknya juga akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung video tular mengenai wawancaranya di Belanda kira-kira 10 tahun lalu.
Jelasnya, pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan dalam masa terdekat.
Video wawancara itu didakwa dibuat selepas demonstrasi Hindraf dijalankan pada November 2007 yang mana beratus-ratus penunjuk perasaan ditangkap, malah Waytha Moorthy sendiri turut ditahan dan mendakwa telah diseksa.











