KOTA BHARU 21 Nov. – Polis merampas 735 kilogram (kg) daun ketum yang bernilai RM22,050 dan menahan empat lelaki dalam dua dua kes di Batu Melintang, Jeli dekat sini selama dua hari berturut- turut.
Dalam kejadian pertama pada kira-kira pukul 8 malam kelmarin, menahan sebuah van jenis Nissan Urvan berhampiran kem tentera di kawasan tersebut serta hasil pemeriksaan menemukan 47 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 235 kg daun ketum yang bernilai RM7,050.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya turut menahan pemandu van tersebut yang berusia 25 tahun dan rakannya, 27.
Beliau berkata, pemandu tersebut mengakui daun ketum itu miliknya dan untuk diedar di sekitar daerah ini manakala rakannya hanya menemani untuk menghantar bekalan tersebut.
“Kedua- dua suspek yang berasal dari Alor Star dan Kuala Nerang, Kedah mengaku bekalan tersebut diperoleh daripada seorang lelaki yang berasal dari Alor Setar.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, Hasanuddin memberitahu, pada keesokannya, seorang pemandu lori dan kelindannya yang berusia 40 dan 27 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu 6 di sini.
Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Ford Trader yang dipandu dari arah Gerik ke Jeli telah menjumpai 108 bungkusan plastik hitam daun ketum.
“Kesemua 500 kg daun ketum diperolehi daripada seorang lelaki Siam di kawasan Pendang, Kedah dianggarkan bernilai RM15,000 dipercayai untuk diedarkan di sekitar Pasir Mas dan Thailand,” katanya,
Dalam pada itu, katanya, seorang lelaki berusia 41 tahun beralamat di Kampung Wakaf Stan di sini dicekup bersama dadah jenis heroin bernilai RM12,000.
Tambahnya, kesemua suspek direman selama seminggu mengikut Seksyen 303(3) Akta Racun 1952 dan kes dadah disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE










