KUALA LUMPUR – Pihak polis menyangkal dakwaan mengatakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya tercedera akibat dirempuh jentera bomba.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kecederaan yang dialami Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, adalah disebabkan telah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya.
“Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai hal ini dan menganggap dakwaan tersebut tidak berasas. Laporan polis mengenai dakwaan ini juga telah dibuat oleh anggota bomba, Mohd. Hazim Mohd. Rahimi, 31, yang merupakan individu sebenar di dalam video tular dan bukannya Muhammad Adib.
“Jika mengikut pada kecederaan itu juga, mana mungkin boleh cedera sehingga begitu jika bukan kerana telah dipukul,” katanya pada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis juga kini sedang giat untuk mengenalpasti individu yang tularkan video mengenai dakwaan tersebut.
“Pihak kami sedang menyiasat dari mana sumber sahih video tersebut disebarkan.
“Orang ramai juga diharap dapat membantu pihak polis dengan memberikan maklumat mengenai video tersebut supaya pelakunya boleh ditahan,” ujarnya. – K! ONLINE










