KUALA TERENGGANU – Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam tiga kejadian pecah masuk pejabat Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus pada Oktober dan awal bulan ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kegiatan suspek, Mohd. Faizol Mamat, 30, yang beralamat di Jalan Pantai Kubang Badak di sini berjaya dikesan menerusi hasil analisa cap jari di lokasi kejadian.
Menurut Suffian, dalam kejadian pertama pada 13 Oktober, pejabat Pusat Pengajian dan Pengurusan Maritim UMT kerugian kira-kira RM5,000 manakala pejabat Pusat Pembangunan dan Harta yang dipecah masuk pada 4 November pula menanggung kerugian sekitar RM630.
“Kejadian pecah pejabat ketiga pada 12 November lalu membabitkan kerugian tertinggi iaitu RM8,500 selepas suspek melarikan barang-barang berharga termasuk wang di dalam tabung.
“Suspek dipercayai masuk ke dalam ketiga-tiga pejabat itu melalui tingkap gelongsor atau mengumpil pintu pejabat yang tidak mempunyai jeriji,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Suffiab memberitahu, suspek turut mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kesalahan pecah rumah. – K! ONLINE









