Polis berkas dua lelaki bersama 1,970 kg daun ketum - Utusan Malaysia

Polis berkas dua lelaki bersama 1,970 kg daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Dua lelaki tempatan yang dipercayai cuba menyeludup 1,970 kilogram daun ketum ke negara jiran melalui sempadan Malaysia-Thailand di Kampung Kolam, Padang Besar diberkas polis, awal hari ini.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohamed berkata, selain dua lelaki berumur 22 dan 51 tahun itu, polis turut merampas dua motosikal dipercayai digunakan untuk mengangkut daun ketum, sebuah kereta Proton Wira dan sebuah alat penimbang daripada mereka.

Katanya, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perlis melancarkan Op Cantas sebaik menerima maklumat kira-kira pukul 2.20 pagi tadi.

“Sebaik tiba di satu kawasan semak di tepi jalan Kampung Kolam, pasukan itu terserempak dengan sekumpulan lelaki lalu memperkenalkan diri menyebabkan mereka melarikan diri ke kawasan semak,” kata Noor Mushar kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, polis bagaimanapun berjaya menahan seorang lelaki di kawasan semak dan seorang lagi yang mengalami kecederaan dipercayai terjatuh semasa melarikan diri di Kampung Kolam.

Pasukan itu kemudian memeriksa kawasan semak tersebut dan menemui daun ketum di dalam beberapa guni plastik dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN