KUALA LUMPUR 21 Nov. – Kepemimpinan tertinggi PKR tidak menyedari berlakunya cubaan pemimpin UMNO dan Pas untuk menarik ahli-ahli Parlimen Melayu-Islam daripada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan yang dilakukan di Hotel Sheraton, di sini pada malam 9 Mei lalu bagi mencapai keputusan secara konsensus daripada semua pemimpin dan ahli PH untuk menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
“Saya tidak sedar mengenai perkara itu sebab keputusan untuk menyokong Dr. Mahathir sebenarnya telah dibuat lebih awal, di mana kami berjanji untuk menyokong beliau.
“Kami terlalu sibuk berbincang mengenai masa depan PH ketika di hotel itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH mendedahkan terdapat cubaan ‘di sebalik tirai’ beberapa jam sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diumumkan secara rasmi enam bulan lalu.
Beliau berkata, terdapat cubaan daripada pemimpin UMNO dan Pas untuk menarik ahli-ahli Parlimen Melayu-Islam daripada PH bagi membentuk kerajaan. – UTUSAN ONLINE










