PENGKALAN HULU 18 Nov. – Kemeriahan Pesta Tasek Takong di sini yang sedang berlangsung terganggu apabila program itu terpaksa dihentikan ekoran terdapat laporan seorang peserta acara menangkap itik dikhuatiri lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu, Syahirul Anwar Abdul Azam berkata, operasi dijalankan setelah pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 11.33 pagi.
Katanya, seramai 19 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Seorang pengunjung mendakwa melihat seorang lelaki yang menyertai acara menangkap itik itu terkapai-kapai sebelum hilang daripada pandangan.
“Berdasarkan maklumat itu, operasi mencari mangsa segera dilakukan namun ia dihentikan sementara untuk proses mengeringkan air tasik tersebut bagi memudahkan kerja-kerja pencarian,” katanya.
Beliau memberitahu, tempoh empat jam diperlukan bagi mengeringkan air tasik seluas 1,000 meter persegi itu.
“Operasi ini juga melibatkan 23 pegawai dan anggota daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Pejabat Daerah Pengkalan Hulu,” katanya.-UTUSAN ONLINE










