KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan kegusaran terdapat segelintir rakyat yang mahu mengubah landskap sosial-politik melalui penerimaan dasar kesaksamaan fahaman barat.
Baginda bertitah dasar berkenaan telah dirangka oleh orang asing yang tidak mengambil kira keunikan, kepelbagaian, kesucian agama Islam, sensitiviti rakyat dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Menurut baginda, negara telah dibangun dan menempuh pelbagai cabaran dengan acuan kita yang tersendiri yang ditunjangi dasar kompromi sosial-politik yang telah dipersetujui oleh semua kaum.
“Malaysia dibina atas persetujuan, persefahaman dan dasar kompromi sosial-politik yang unik kepada negara kita.
“Keunikan ini telah diperkenankan oleh raja-raja Melayu bagi membentuk sebuah negara Malaysia yang merdeka. Ianya kemudian telah dinyatakan dengan jelas dalam pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda pada majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini.
Turut hadir, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
Tambah baginda, jika pembaharuan dan perubahan kepada dasar sosial-politik negara dilakukan tanpa kajian yang mendalam akan hanya mengundang mudarat yang tiada berkesudahan. – K! ONLINE










