Permaisuri Johor rasmi wad hematologi Hospital Sultanah Aminah - Utusan Malaysia

Permaisuri Johor rasmi wad hematologi Hospital Sultanah Aminah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hari ini berkenan merasmikan Wad Hematologi (wad pesakit kanser darah)  Tunku Laksamana Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Amran A.Rahman.

Menurut Selahuddeen, cetusan idea bagi mewujudkan wad berkenaan yang datangnya daripada limpah perkenan Permaisuri Johor itu turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang  membiayai kos bagi mengubah suai bangunan menjadi sebuah pusat rawatan yang kondusif.

Wad Hematologi yang wujud pada 2009 itu dirasmikan pada hari ini setelah menjalani pengubahsuaian sejak beberapa tahun lepas, selepas baginda berkenan melakukan lawatan  pada 2016.

Selahuddeen berkata, peningkatan jumlah pesakit di wad berkenaan iaitu seramai 704 pesakit setakat tahun lepas itu juga  mendorong Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor memberi sumbangan bagi menambah bilik Transplan  yang turut dilengkapi dua unit alat penulen bagi mengurangkan jangkitan kuman.

Selain itu, bilik pesakit juga dicat semula dengan cat antikulat dan setiap bilik air dilengkapi pemanas air, kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian wad berkenaan.

“Sebuah bilik mesyuarat yang lengkap projektor dan skrin disediakan bagi kemudahan staf di wad ini,” katanya.

Selahuddeen berkata, turut ditambah baik adalah kaunter jururawat yang kemas dan kondusif serta bilik rawatan pesakit dan tempat menunggu yang selesa di  Hematologi Daycare (Unit Rawatan Harian).

“Atas bantuan yang telah diberikan, kita mengharapkan rawatan pesakit kanser darah di sini dapat dilakukan dengan lebih selamat, efisien, selesa dan mesra pelanggan selaras dengan misi dan visi Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Sehingga ini, terdapat dua Pakar Perunding Hematologi, dua pakar pelatih, dibantu ketua jururawat, 19 jururawat serta lapan pembantu perawatan di tempatkan di Wad Hematologi itu.

Antara kanser darah yang dirawati di wad berkenaan adalah Acute dan Chronic Meloid serta kanser Lymphoma. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×