KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendakwa tidak membuat pusingan U berhubung isu pemansuhan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 sebaliknya memerlukan sedikit masa meneliti peruntukan undang-undang tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, sebarang tindakan seperti pindaan atau pemansuhan terhadap Akta MKN 2016 hanya dapat diputuskan selepas itu.
“Ya, memang betul sebelum ini kerajaan PH berjanji untuk memansuhkan akta yang bersifat zalim jika memenangi pilihan raya umum lalu.

“Namun, perkara ini bukan di bawah bidang kuasa saya secara langsung tetapi saya tahu memang terdapat beberapa pindaan perlu dibuat ke atas akta itu tapi bukan membabitkan pemansuhan akta ini,” katanya ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, kerajaan tidak akan memansuhkan Akta MKN walaupun PH berjanji untuk melaksanakannya apabila memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana disifatkan sebagai akta yang zalim.
“Kerajaan telah meneliti secara terperinci Akta MKN 2016 (Akta 776) dan memutuskan supaya hanya dipinda dan tidak dimansuhkan,” katanya.
Pada 1 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan PH sedang mengkaji untuk memansuhkan beberapa undang-undang yang dilaksanakan kerajaan era Barisan Nasional (BN) antaranya Akta MKN 2016.










