PADANG BESAR 22 Nov. – Pihak yang mencadangkan pengiktirafan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) perlu lebih sensitif dalam membincangkan isu tersebut bagi mengelak berlakunya perpecahan kaum di negara ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, pada masa sama, mereka yang mencadangkan ICERD yang sebelum ini tidak pernah dibincangkan secara terbuka, perlu berhati-hati dalam membawa isu berkenaan.
Malah kata beliau, sepatutnya perkara itu dibincangkan selepas ekonomi dan pentadbiran negara telah diperkukuhkan selain memastikan segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa dapat dikawal dengan baik.
“Bila kita lihat ICERD dan pelbagai isu lain, ada kebimbangan akan apa yang berlaku terhadap hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
“Mereka yang membawa isu ICERD ini sepatutnya matang dan membincangkan cara yang lebih baik supaya ketegangan antara kaum tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program kembali ke sekolah dan sumbangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, bagi mereka yang membantah atau memberi reaksi dalam isu tersebut juga perlu berhati-hati supaya tidak memburukkan lagi keadaan antara kaum.
“Apa yang penting perlu ada kematangan dalam perbincangan supaya suasana harmoni di dalam negara kita ini terus terpelihara,” kata Wan Saiful yang juga Setiausa Bersatu Bahagian Arau. – UTUSAN ONLINE










