Perlu gubal enakmen negeri sekat edar Bible - Utusan Malaysia

Perlu gubal enakmen negeri sekat edar Bible

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Negeri-negeri yang masih belum menggubal enakmen menyekat pengembangan aga­ma lain terhadap umat Islam seperti diperuntukkan dalam Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan perlu mengambil tindakan itu bagi membolehkan pemantauan dilakukan dan mengelak kejadian pengedaran Bible ber­ulang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, penyebaran Bible yang berlaku sebelum ini adalah (perbuatan) menghina kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai

MUSA AWANG
MUSA AWANG 

ketua agama Islam di (peringkat) Persekutuan dan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri.

“Bagi negeri-negeri yang tiada enakmen sekatan pengembangan agama, ia wajar digubal segera. Di samping itu, usaha pemantauan juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikannya tidak berulang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Mohd. Noor dalam satu kenya­taan menyarankan kerajaan negeri menggubal undang-undang berkaitan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pandangan sama turut diberikan oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad yang berkata, kerajaan-kerajaan negeri terbabit perlu mengambil tindakan itu demi mempertahankan peruntukan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

“Kerajaan perlu bertegas mempertahankan (apa yang termaktub dalam) Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, setakat ini tiada kes pengedaran Bible di negeri itu kerana keberkesanan enakmen berkenaan.

“Setakat ini tiada kes di Kelantan sebab saya percaya orang takut bila ada enakmen ini. Enakmen inilah yang boleh tolong kawal (elak) daripada apa-apa berlaku. Kalau boleh seragamkan enakmen ini di setiap negeri.

“Jangan persoalkan kenapa islam boleh disebarkan kepada orang bukan islam. Faham dahulu Perlembagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN