ISKANDAR PUTERI 14 Nov. – Kerajaan negeri bercadang melaksanakan konsep apungan bagi setiap pembelian lot bumiputera untuk tujuan industri di Johor.
Pengerusi Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bagi menyelesaikan masalah halangan pembeli daripada kalangan pihak industri mendapat lot sesuai untuk perniagaan mereka.
“Kita akan guna konsep apungan, contohnya kawasan industri ada 100 lot, 40 peratus daripadanya dikekalkan lot bumiputera tetapi kita tidak akan tentukan dan tandanya dahulu.
“Maknanya kita tidak tentukan lokasi dia yang mana, jadi ini akan memudahkan pembeli untuk mereka beli lot bersebelahan, mereka boleh gabung untuk mendapatkan lebih keluasan.
“Kita faham ada daripada mereka yang menghadapi masalah ini, bila nak beli bersebelahan tidak boleh sebab lot itu dah spesifik hanya bumiputera sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri program Pembaikan dan Keceriaan Sekolah Angkat Forest City di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang, Gelang Patah di sini semalam.
Yang turut hadir Pengarah Strategik Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., Ng Zu Hann dan Guru Besar SK. Tanjong Adam, Noriah Md. Jidin.
Katanya, langkah tersebut sekali gus membantu kerajaan untuk menarik minat lebih banyak pelabur dan pemain industri ke negeri ini.
Dzulkefly berkata, pihaknya juga sudah menyediakan pelan keselamatan untuk mengelak berlakunya sebarang penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita lakukan konsep ini hanya untuk kegunaan industri dan tidak termasuk perumahan atau hartanah lain. Kalau pembeli minat hanya boleh jumpa pemaju dan maklumkan mana lot yang mereka mahukan.
“Namun sebarang permohonan dibuat perlu menjalani proses saringan dan kelulusan bahagian perumahan juga,” ujarnya.
Kita masih kawal lagi jadi sebarang perkara mengenai itu kita sedia maklum,” katanya.










