PUTRAJAYA 21 Nov. – Perincian lanjut mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi petrol sedang dilakukan kerajaan bagi memastikan mereka yang benar-benar layak menikmati kemudahan tersebut.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, mekanisme itu yang melibatkan golongan is rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) bakal dilaksanakan pada suku kedua 2019.
“Perincian ini perlu dilakukan kerana tidak mahu timbul aduan oleh orang ramai kelak sekiranya tidak puas hati terhadap usaha murni tersebut.
“Seperti pada baru-baru ini, ada pihak minta subsidi diberi pada semua, tetapi kerajaan tidak boleh buat begitu kerana mempunyai peruntukan terhad. Oleh itu, kita hanya beri pada mereka layak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Khas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Bersama Media di sini hari ini.
Kerajaan dalam Belanjawan 2019 mengumumkan akan melaksanakan subsidi petrol bersasar bermula suku kedua tahun hadapan. – UTUSAN ONLINE










