SEREMBAN 13 Nov. – Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan mengadakan perhimpunan bagi membantah pengiktirafan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Masjid Negeri di sini pada 23 November ini.
Ketuanya, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, bantahan itu perlu diadakan supaya kerajaan tidak mengambil ringan ratifikasi yang akan memberi impak besar terhadap hak orang Melayu yang dilindungi di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya menyeru pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan Melayu dan Bumiputera untuk bersama-sama menyertai perhimpunan yang akan diadakan pada pukul 2 petang itu.
“Ini kerana definisi dan skop ICERD bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal Malaysia atau Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zaidy berkata, pihaknya akan turut mengumpulkan tandatangan membantah ICERD di masjid terpilih di negeri ini dan satu memorandum bantahan akan diserahkan kepada wakil kerajaan negeri di bangunan Wisma Negeri.
Jelasnya, memorandum berkenaan mengandungi gesaan agar kerajaan berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai ICERD, tidak sesekali menggugat hak Melayu dan Bumiputera serta tidak mencabar kedaulatan raja serta Perlembagaan. – UTUSAN ONLINE











