Perdana Menteri rasmi Dash Resort Langkawi - Utusan Malaysia

Perdana Menteri rasmi Dash Resort Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 26 Nov. – Syarikat pengurusan hotel profesional yang beroperasi di dalam dan luar negara, Ri-Yaz Hotels and Resorts iaitu anak syarikat Kumpulan Ri-Yaz hari ini melancarkan resort terbaharunya, Dash Resort Langkawi di Pantai Tengah di sini.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diiringi isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali ke majlis itu.

Sempena perasmian itu, Ri-Yaz Hotels and Resorts turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Alphanam Real Estate Vietnam sekali gus membolehkan syarikat berkenaan menguruskan dua lagi hotel di Vietnam iaitu Altara Residences Quy Nhon dan Altara Suites Sa Pa.

Ri-Yaz Hotel and Resorts diwakili oleh pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Ri-Yaz, Datuk Seri Mohammed Shaheen Shah Mohd. Sidek sementara Alphanam Real Estate Vietnam pula, Timbalan Pengurus Besar syarikat itu, Sylvia Nguyen.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (empat dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Ri-Yaz G
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (empat dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Ri-Yaz Group, Datuk Seri Mohammed Shaheen Shah Mohd Sidek (tiga dari kiri) serta Pengerusi Ri-Yaz Group, Tan Sri Rashid Manaf (lima dari kiri) memotong reben sebagai simbolik perasmian Dash Resort Langkawi di sini, hari ini. Turut sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (dua dari kiri). – UTUSAN ONLINE/ FARIZ RUSADIO

MoU berkenaan disaksikan oleh Dr. Mahathir dan Duta Besar Vietnam ke Malaysia, Le Quy Quynh.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Ri-Yaz, Tan Sri Rashid Manaf.

Perdana Menteri ketika berucap pada majlis itu memberitahu pihaknya kagum dengan transformasi yang dilakukan oleh syarikat berkenaan membangun resort tersebut yang asalnya merupakan sebuah bangunan lama kerajaan berusia lebih 30 tahun.

“Kerajaan mengalu-alukan usaha syarikat swasta seperti ini menukar bangunan lama yang dibiarkan kosong kepada sesuatu yang boleh memberi sumber wang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Shaheen, pihaknya yakin resort terbaharu di pulau peranginan negara ini mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Langkawi.

“Dari segi reka bentuk kami membina resort yang unik dalam usaha menawarkan pengalaman yang menarik kepada pengunjung.

“Keunikan Dash Resort Langkawi juga adalah ia baru sahaja diiktiraf sebagai Reka Bentuk Resort Terbaik dalam World Luxury Hotel Awards yang berprestij. Ini adalah anugerah pertama yang dimenangi oleh hotel di Langkawi,” katanya.

Selain Dash Resort Langkawi, Ri-Yaz Hotels and Resort turut memiliki Dash Hotel Seminyak Bali dan Dash Box Hotel Cyberjaya, Selangor.

Kumpulan Dash berkenaan turut menguruskan Hotel Cyberjaya, Ri-Yaz Lavanya Resort Langkawi dan Altara Suites Da Nang di Vietnam.

Dash Resorts Langkawi yang beroperasi sejak April lepas dari segi rekaan seni bina dan hiasan dalamannya berkonsepkan kolonial Perancis dan dongeng Alice in Wonderland.

Menurut Mohammed Shaheen, Ri-Yaz Hotels and Resorts merancang untuk mengurus dan memiliki kira-kira 15 hotel dan resort menjelang 2020 sekali gus menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×