Perarakan Maulidur Rasul, MBKT juara lagi - Utusan Malaysia

Perarakan Maulidur Rasul, MBKT juara lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 20 Nov. – Seperti tahun-tahun sebelum, kontinjen Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengekalkan prestasi untuk muncul johan kategori Jabatan Kerajaan Negeri / Badan Berkanun Negeri dalam perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 2018 di sini hari ini.

Naib johan kategori itu ialah Yayasan Islam Terengganu (YIT) manakala Yayasan Terengganu (YT) di tempat ketiga dengan johan menerima hadiah RM3,000 diikuti RM2,000 (naib johan) dan RM1,000 (ketiga).

Bagi kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan / Badan Berkanun Persekutuan, johan dimenangi Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu disusuli Lembaga Hasil Dalam Negeri (naib johan) dan Jabatan Imigresen Terengganu (ketiga).

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad di sini pula muncul juara kategori Sekolah Menengah, IPTA dan IPTS diikuti SM Imtiaz YT Kuala Terengganu (naib johan) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di tempat ketiga.

Bagi kategori swasta, hanya dimenangi satu pasukan iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) manakala bagi pasukan beruniform dimenangi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu.

Sebanyak 66 kontinjen dengan setiap kontinjen dianggotai 30 orang menyertai perarakan sejauh 2.4 kilometer itu yang bermula dari Dataran Syahbandar dan berakhir di pekarangan Stadium Negeri di sini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 2018 yang berlangsung di Stadium Negeri pagi ini.

Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan Exco Kerajaan negeri, para pembesar serta kenamaan negeri.

Dalam pada itu, sempena sambutan itu, pertandingan kebersihan, keceriaan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam turut diadakan dengan Masjid Ar- Ridhwan, Sungai Tong, Setiu menjuarai kategori masjid.

Naib johan dimenangi Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kerteh, Kemaman manakala Masjid Al-Mustaqim, Kampung Paya Pelandan, Dungun (ketiga).

Bagi kategori surau, johan dimenangi Surau Kita, Kampung Jati di sini disusuli Surau An-Naim, Taman Putera, Besut (naib johan) dan Surau Ladang RISDA, Durian Mas, Dungun (ketiga).

Kategori tanah perkuburan Islam pula, johan menjadi milik Raudhatul Sakinah, Jalan Pusara, Hulu Terengganu diikuti Tanah Perkuburan Islam Felda Jerangau, Dungun (naib johan) dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Guntung Luar, Setiu (ketiga).

Johan menerima hadiah wang tunai RM3,000 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing mendapat RM2,000 dan RM1,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN