IPOH 22 Nov. – Kerajaan negeri bersetuju memberi Elaun Tanggungjawab Khas (ETK) kepada Ketua Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) di negeri ini tanpa perlu memenuhi syarat seliaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebelum ini, bagi menikmati elaun tersebut, penjawat awam bagi gred 22, 26 dan 28 itu perlu menyelia kakitangan bawahan terlebih dahulu.
Menurutnya, keputusan tersebut bagaimanapun akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam masa terdekat untuk perbincangan lebih lanjut.
“Antara perkara yang dibangkitkan oleh ahli Gabungan Kesatuan Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) hari ini adalah mengenai ETK yang mana sejak sekian lama, syarat yang dikenakan itu diminta agar dapat dikecualikan.
“Oleh itu, setelah berbincang dengan pihak sumber manusia, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan pengecualian bagi elaun tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Hala Tuju Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir Negeri Perak 2018 di Dewan Bankuet Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, Ahmad Faizal juga bersetuju membawa permasalahan yang dihadapi golongan tersebut ke pengetahuan kerajaan Pusat.
Mengulas lanjut katanya, beliau akan mencuba sebaik mungkin, namun berharap perjuangan kesatuan itu selaras dengan langkah meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.
Ujarnya, ini termasuk mengenakan tindakan mengikut peruntukan sedia ada terhadap mana-mana pembantu tadbir yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Saya akan bersama dengan kesatuan untuk perkara itu (ETK), namun saya tidak mahu mendesak kerajaan semata-mata untuk memenuhi permintaan sedangkan prestasi perkhidmatan menurun.
“Ia perlu dua hala, bukan semestinya mereka hanya meminta bermacam-macam tetapi mereka juga mesti melaksanakan apa yang dituntut terhadap mereka,” katanya.










