PENURUNAN kuasa atau empowerment daripada pihak atasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajarnya adalah selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk membuka ruang kepada golongan tersebut menjadi pemimpin masa depan yang mampu membuat keputusan penting dalam setiap aspek kehidupan mereka.
Langkah tersebut disambut baik oleh semua pelajar universiti itu yang merasakan suara mahasiswa perlu didengar dan diberi pertimbangan.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Syahid Aiman Muhammad Bazlan, beliau mengalu-alukan dasar penurunan kuasa yang membuka peluang untuk mahasiswa membuat keputusan dalam perkara yang melibatkan kebajikan mereka.
Katanya, mahasiswa berhak untuk mendapat layanan terbaik dari aspek nutrisi. Untuk itu, beliau berharap kafe mahupun dewan makan di kolej kediaman menyajikan makanan dan minuman yang terbaik untuk pelajar.
Apabila suara pelajar didengari dari peringkat Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar (HEP), ia ibarat mahasiswa sendiri menentukan apa yang terbaik untuk diri mereka sendiri.
Mengulas mengenai peranannya yang diberi tanggungjawab untuk menjadi pelaksana pilihan raya kampus yang sebelum ini dilakukan sepenuhnya oleh pihak pentadbiran HEP, beliau menganggap tanggungjawab tersebut sebagai simbolik kepada kepercayaan yang tidak berbelah bahagi diberikan oleh pihak UiTM kepada beliau.
Apa yang penting dasar penurunan kuasa tersebut akan memastikan pelajar menjaga kebajikan mereka sendiri. Ia adalah langkah ke hadapan untuk seorang pelajar menjadi pemimpin masyarakat dan negara.
Sebelum ini, semua keputusan dibuat pentadbir peringkat atasan tanpa melibatkan pelajar dan mereka hanya menerimanya tanpa bantahan. Namun, dengan adanya penglibatan pelajar sebagai ahli jawatankuasa di peringkat pengurusan dan pelaksana pilihan raya kampus maka pelajar akan lebih gigih berusaha untuk memastikan mereka memikirkan yang terbaik bagi kebaikan semua pihak.
Bagi Timbalan Bendahari MPP UiTM, Nurul Athirah Mohamad Ali, beliau berharap dengan adanya dasar penurunan kuasa tersebut, suara golongan wanita terus diiktiraf di peringkat pembuat keputusan.
Nurul Athirah melahirkan rasa bangga apabila suara wanita diiktiraf sebagai Timbalan Perdana Menteri iaitu dengan pelantikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail. Ia menaikkan semangat dirinya untuk menjadi sebahagian perintis kepada dasar penurunan kuasa dari pihak atasan UiTM kepada pemimpin pelajar seperti dirinya.
Katanya, cadangan pihak Kerajaan Persekutuan untuk meramaikan golongan wanita dalam pentadbiran peringkat tinggi sebanyak 30 peratus seharusnya bermula di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Maka dasar penurunan kuasa adalah langkah awal ke arah itu.
Pandangan kedua-dua pemimpin pelajar tersebut disokong oleh pemimpin peringkat kolej kediaman, Muhammad Amirudin Kasim, yang berharap dengan adanya suara mereka di peringkat pembuat keputusan, kehidupan pelajar di kolej kediaman mampu pergi lebih jauh.
Sebagai pemimpin kolej, pelajar inginkan yang terbaik dari aspek tempat tinggal selesa, kemudahan dobi dan makanan yang dihidangkan berkualiti.
Sementara itu, sahabatnya, Setiausaha Bahagian Korporat MPP, Ahmad Zahid Saidil Mursalin, menganggap ia sebagai ruang untuk pemimpin pelajar menyumbang idea ke arah menjadikan UiTM sebagai institusi yang terus relevan melahirkan siswa terbaik di negara ini.
Beliau berharap pelajar yang berada dalam jawatankuasa itu dapat menyampaikan maklumat terus daripada pihak tertinggi dan pengurusan UiTM kepada rakan-rakan mereka secara lebih telus dan bertanggungjawab.










