Penjawat awam alami gangguan seksual diminta buat laporan - Utusan Malaysia

Penjawat awam alami gangguan seksual diminta buat laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 22 Nov. – Penjawat awam wanita tidak perlu takut untuk membuat aduan dan laporan kepada pihak atasan sekiranya mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Mohd. Razali Singah berkata, beliau turut menggalakkan mangsa mengadu kepada Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) yang diwujudkan bagi membantu mereka.

“Kadang-kadang mangsa keseorangan dan takut untuk bertindak. Tapi kita ada kesatuan dalam sektor awam dan ada majikan. Boleh berjumpa untuk bercerita dan kita boleh bawa kes ke pihak atasan.

“Justeru pelaku akan diambil tindakan dan mangsa tidak lagi mengalami kemurungan, tidak tertekan dan ceria kembali di tempat kerja dan juga rumahtangga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Peningkatan Kualiti dan Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita Bagi Penjawat Awam Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi CUEPACS negeri, Solihuddin Jamaludin dan Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita negeri, Ruzanna Sager Ahmad.

Mohd. Razali berkata, prestasi penjawat awam akan terjejas sekiranya mengalami isu keganasan dan gangguan di tempat kerja yang tidak dilaporkan sekali gus menggugat kualiti kerja mereka.

Ujarnya, seminar tersebut bertujuan membantu kakitangan awam dalam memahami situasi serta jenis-jenis perlakuan yang diklasifikasikan sebagai gangguan seksual. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN