Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak berangkat ke sambutan Maulidur Rasul - Utusan Malaysia

Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak berangkat ke sambutan Maulidur Rasul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING 20 Nov. – Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa hari ini berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Taiping dekat Kamunting.

Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah serta diiringi oleh dua anggota Jemaah Pemangku Raja Perak iaitu Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Selepas bacaan al-Quran dialunkan, baginda dan para tetamu mendengar ceramah khas bertajuk ‘nabi pembawa rahmat’ yang disampaikan oleh Ustaz Fauwaz Fadzil Noor.

Para tetamu kemudian dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Far East diikuti dengan laungan selawat beramai-ramai.

Pada majlis tersebut, Raja Jaafar turut berkenan menyampaikan beberapa Anugerah Pegawai Masjid kepada Mior Osman Mat Aleh (kategori siak), Idris Sulaiman (kategori bilal), Shuhim Ali Othman (kategori imam) serta Anugerah Pendakwah kepada Aman Asnida Abdullah yang merupakan seorang wanita Muslim berbangsa Punjabi.

Sementara itu, Anugerah Keluarga Mithali pula disampaikan baginda kepada Harun Othman, seorang Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang telah berkhidmat lebih 30 tahun sejak tahun 1977. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN